Bank Rakyat, Cenergi jalin kerjasama pasang sistem solar

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat melangkah ke hadapan dalam usaha kelestarian alam sekitar dengan menjalin kerjasama strategik bersama Cenergi SEA Bhd (Cenergi) bagi melaksanakan pemasangan sistem solar fotovolta (PV) bumbung di 84 cawangan Bank Rakyat di Semenanjung Malaysia.

Langkah ini selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang menyasarkan penjanaan tenaga daripada sumber boleh baharu mencapai 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2030.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria, berkata inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada matlamat negara neutral karbon menjelang 2050, malah turut meningkatkan kecekapan tenaga dan menurunkan jejak karbon institusi kewangan tersebut.

Bank Rakyat menjadi institusi kewangan pertama di Malaysia yang melaksanakan sistem solar PV bumbung bagi menjana tenaga elektrik untuk kegunaan sendiri.

Projek ini dijangka mengurangkan pembelian tenaga daripada grid sebanyak 4,000 MWh setahun dan menyumbang kepada pengurangan jejak karbon sebanyak 3,096 tan setahun, bersamaan dengan penanaman 51,000 pokok.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Hairol Azizi Tajudin, pemasangan solar PV ini akan membantu Bank Rakyat menjimatkan kos elektrik sehingga RM15 juta dalam tempoh 25 tahun. Projek ini dijangka bermula pertengahan tahun 2025.

Kerjasama ini turut merangkumi audit tenaga, pemasangan sistem pengumpulan air hujan, dan stesen pengecasan kenderaan elektrik di Menara Kembar Bank Rakyat sebagai persediaan untuk pensijilan Bangunan Hijau (GBI).

“Kerjasama dengan Cenergi menunjukkan komitmen kami terhadap kelestarian yang juga selaras dengan pelan strategik BR25. Kami yakin langkah ini akan memberi impak positif kepada sektor kewangan dan masyarakat secara keseluruhan,” kata Nor Haimee.

Cenergi, anak syarikat UEM Lestra Berhad, adalah peneraju dalam penyelesaian tenaga lestari di Malaysia, dengan fokus pada pelaburan dalam tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga.

Kerjasama ini juga sejajar dengan dasar Bank Negara Malaysia (BNM) melalui pengurusan risiko iklim dan amalan kelestarian, yang menggalakkan institusi kewangan mengenal pasti peluang dalam ekonomi rendah karbon.

Melalui projek ini, Bank Rakyat terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam inisiatif kelestarian di sektor kewangan Malaysia, memberi impak kepada kelangsungan ekonomi dan alam sekitar untuk generasi akan datang.

Read more at https://bharian.com.my/bisnes/korporat/2024/12/1338912/bank-rakyat-cenergi-jalin-kerjasama-pasang-sistem-solar