Allianz, Cenergi bekerjasama mempromosikan tenaga solar

KUALA LUMPUR, 3 Feb — Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd merancang untuk menyediakan perlindungan bagi sistem solar fotovolta (PV) dalam perkongsian dengan pakar projek tenaga boleh diperbaharui iaitu Cenergi SEA Sdn Bhd.

Allianz Malaysia Bhd berkata bahagian insurans am kumpulan itu pada hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Cenergi dan Sterling Insurance Brokers Sdn Bhd bagi mempromosikan solar sebagai sumber utama dalam penjanaan tenaga negara.

“Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, Allianz General akan menawarkan Cenergi skim Semua Risiko Menegak dan perlindungan Semua Risiko Hartanah Allianz  bagi pembinaan dan operasi sistem solar PV. Kerjasama ini akan merangkumi perlindungan ke atas sistem solar PV yang dirancang, yang secara kolektif mampu menjana tenaga sejumlah 50 megawatt.

“Selain itu, kerjasama tersebut juga akan menyaksikan Cenergi mempromosikan produk insurans harta komersil Allianz General yang lain termasuk penyelesaian khusus kepada rakan kongsi dan pelanggannya,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia dan Allianz General, Zakri Khir berkata kesedaran mengenai tenaga boleh diperbaharui sedang meningkat di negara ini dan Allianz  General menjadi sebahagian daripada agenda untuk mengembangkan lagi matlamat hijau Malaysia.

“Ini masa yang tepat bagi pelaburan masa depan termasuk penyediaan perlindungan untuk peneraju  industri solar PV tempatan, khususnya pada saat-saat kritikal iaitu semasa tempoh pembinaan dan operasi. Kami sentiasa berharap agar penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia akan diperkukuhkan dan berterusan.

“Sebagai penanggung insurans yang memiliki kepakaran dan keupayaan bagi menajajamin perniagaan seperti ini, kami bersedia untuk memberikan perlindungan yang komprehensif, mudah dan fokus pelanggan kepada pelanggan kami,” katanya.

Malaysia mahu meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui untuk menjana tenaga elektrik daripada enam peratus kepada 20 peratus menjelang 2025, yang akan digerakkan oleh tenaga solar.

— BERNAMA

Read more at https://bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1811193

Our Partners

Our Partners