24 September 2019, SHAH ALAM: Cenergi SEA Sdn Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, Cenergi RE Sdn Bhd, memperolehi Fasiliti Pinjaman Green Club sebanyak RM100 juta daripada MIDF Amanah Investment Bank Bhd dan China Construction Bank (M) Bhd bagi membiayai projek biogas kepada tenaga (BTE) syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ernest Navaratnam, berkata projek berkenaan merangkumi tambahan sembilan loji BTE di Perak, Negeri Sembilan dan Pahang.

“Suntikan terbaharu ini juga bermakna kami akan dapat mempercepatkan strategi pengembangan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian tiga pihak yang terkait dengan fasiliti itu di sini, hari ini.

Majlis berkenaan diadakan bersempena dengan Persidangan dan Pameran Antarabangsa mengenai Pengurusan Sisa yang dianjurkan oleh Persatuan Pengurusan dan Penyelidikan Alam Sekitar Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor serta Cenergi SEA.

Sebagai anak syarikat kepada dana pelaburan strategik kerajaan, Khazanah Nasional Bhd, Cenergi SEA juga adalah salah satu daripada peneraju biogas efluen kilang minyak sawit yang dihubungkan oleh grid yang terbesar di Malaysia.

Buat masa sekarang, Cenergi RE memiliki dan mengendalikan tujuh loji biogas yang menjana tenaga keseluruhan sebanyak 8.6 MW.

Navaratnam berkata, tambahan sembilan lagi loji BTE akan menjana, masing-masing setiap satu sebanyak 1.5 MW tenaga secara purata.

Sehingga Julai 2019, Cenergi RE telah menjana sejumlah 135,090 MWh tenaga boleh diperbaharui kepada grid negara dan mengurangkan sehingga 134,930 tan karbon dioksida.

Menurut Navaratnam, Fasiliti Green Club akan membantu syarikat untuk memenuhi keperluan pembiayaan biogas dan meningkatkan sumbangannya terhadap matlamat tenaga hijau nasional yang mensasarkan penjanaan 20 peratus daripada tenaga negara daripada sumber yang boleh diperbaharui.

“Daripada 20 peratus itu, kami berhasrat untuk menjana 10 peratus menjelang 2025,” katanya.

-BERNAMA

Berita selanjutnya di https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/09/610523/anak-syarikat-khazanah-dapat-pembiayaan-rm100-juta

Our Partners

Our Partners