KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM2 billion oleh kerajaan di bawah Belanjawan 2019 untuk Skim Pembiayaan Tenaga Hijau (GTFS) akan menggalakkan lebih banyak pemain tenaga hijau berkembang dan meneroka kaedah inovatif dalam memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui.

Ketua Pegawai Eksekutif Cenergi SEA Sdn Bhd, Ernest Navaratnam, syarikat pelaburan tenaga bersih Khazanah Nasional, berkata Cenergi juga mengalu-alukan insentif lain seperti pengembangan senarai aset hijau yang disenaraikan di dalam direktori MyHijau yang layak untuk Elaun Pelaburan Teknologi Hijau (GITA) dari 9 aset kepada 40 aset.
Katanya, peruntukan itu dan insentif cukai lain akan memastikan kebangkitan semula industri tenaga boleh diperbaharui.

“Akses yang lebih mudah kepada pembiayaan akan membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencari lebih banyak peluang untuk pelaburan dan pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) yang mana akan membantu negara memenuhi sasaran 20 peratus RE menjelang 2025,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, mengumumkan pelbagai inisiatif untuk menarik lebih ramai pemain dalam industri RE.
Ini termasuk kuota baharu Feed-in Tari (FiT) dan polisi Skala Besar Solar 3 (LSS3) yang mana kapasiti 500MW dibuka untuk ditender yang akan memacu sektor tenaga solar.

Ini juga termasuk semakan semula polisi Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang mana setiap 1kWh tenaga yang dieksport ke grid akan diimbangi dengan 1kWh tenaga yang digunakan daripada grid oleh penyumbang.
Kerajaan juga akan memperkenalkan pelabelan Intensiti Tenaga Bangunan untuk bangunan kerajaan, bermula di Putrajaya untuk mengurangkan penggunaan tenaga sebagai usaha ke arah menjadi hijau. — Bernama

Source: PressReader.com

Our Partners

Our Partners